Isnin, 14 Februari 2011

MENCARI KETENANGAN HATI…

oleh gentarasa

Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”
Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.

Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.

Dimensi kata, rasa dan tindakan
Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya. Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”At Tahrim 8
Firman Allah lagi:
“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” al baqarah 222.

Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kina? Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.

Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!

Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:

Rasa kehambaan.
Rasa bertuhan.
Memahami maksud takdir.
Mendapat hikmah di sebalik ujian.
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti. Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Rasa kehambaan.
Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah:
“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” At Taubah: 51

Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau.

Imam Ghazali rhm pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.

Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah:
“…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” Al baqarah 156

Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.

Rasa bertuhan.
Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.

Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”

Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah:
“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” Al Baqarah.

Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah:
“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4.

Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
Maksudnya: Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.

Memahami maksud takdir Allah.
Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.

Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.

Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:
“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya”
Surah Al Baqarah : 216
Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, “barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”

Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan… mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.

Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.

Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:
“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: “It’s not what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!”

Mendapat hikmah bila diuji.
Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Ra¬sul¬ullah s.a.w. bersabda, “perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Ringkas¬nya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.
Firman Allah: Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”
(Surah al-Baqarah: 214)
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu peng¬ampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.
Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.
Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat… hanya berada di dalam hati sendiri!


Read more...

3 Langkah Bagaimana Menjadi Wanita Berfikiran Positif Tiap Hari

Wanita berfikiran positif adalah wanita bersemangat, berinspirasi, mendahulukan Tuhan dalam setiap perkara, bersangka baik dengan masalah serta senang didampingi sesiapa saja. Berikut adalah 3 langkah asas bagaimana menjadi wanita berfikiran positif setiap hari.
Langkah 1: Bersangka Baik Dengan Situasi Buruk.
Masalah, cabaran dan situasi buruk tetap akan datang dari berbagai arah. Anda tak boleh elak, tak boleh sembunyi, tak boleh lari. Untuk menjadi wanita berfikiran positif, anggap masalah sebagai sebagai peluang untuk memajukan diri. Anggap cabaran sebagai peluang untuk Anda mendiskaver kekuatan serta bakat Anda. Jadikan situasi buruk sebagai peluang untuk Anda memperbaiki diri menjadi orang baru, memperbaiki pemikiran dan memperbaiki tindakan.
Langkah 2: Memaafkan Kesalahan Orang Lain Sebelum Anda Tidur.
Ego, sikap panas baran serta kesombongan membuat Anda sukar memaafkan. Oleh kerana itu, fikiran pun terbentuk penjadi fikiran negatif. Turunkan ego Anda, buang sikap panas baran, buang kesombongan. Jadilah seorang pemaaf. Maafkan kesalahan orang lain yang Anda tak puas hati dari sebesar-besar kesalahan hinggalah ke sekecil-kecil kesalahan. Amalkan memaafkan kesalahan semua orang pada Anda dari dulu sampai sekarang. Bila bangun keesokan paginya, Anda akan rasa ‘feel good’. Anda akan jadi bersemangat.

Langkah 3: Biar Anda Kuasai Emosi,Bukan Emosi Kuasai Anda.
Wanita sinonim dengan air mata kerana emosi wanita amat sensitif. Nak menjadi wanita berfikiran positif Anda perlu tabah serta mahir mengawal emosi. Dalam apa jua perkara, kawal emosi Anda. Anda boleh berlatih mengawal emosi dengan bertenang selalu, be in control, pamerkan air muka yang tenang serta amalkan meditasi ringkas (duduk diam, tenangkan fikiran) selepas selesai sembahyang. Meditasi ringkas di iringi zikir-zikir Asmaul Husna membuat Anda mahir mengawal emosi. Lama kelamaan Anda akan mahir menahan marah, menahan tekanan,sentiasa tenang.


Read more...

Motivasi Diri – 5 Tips Bagaimana Menjaga Fikiran Positif Setiap Hari.

Dulu kami dah selalu cakap pasal membina fikiran positif. Kali ni kami akan bercakap pasal cemana nak kekalkan fikiran positif yang Anda dah bina. Berikut adalah 5 tips bagaimana untuk menjaga fikiran positif,untuk di amalkan setiap hari.
1. Jangan Komen, Jangan Komplen, Jangan Ngomel.
Mengomen dan mengomplen pada setiap situasi, benda dan perkara adalah perbuatan buruk kerana Anda menyatakan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu. Apabila situasi berlaku di luar jangkaan atau masalah timbul tanpa disangka, jangan komen, jangan komplen, jangan mengomel sampai ke laut. Biarkan ia seadanya, biarkan begitu saja. Dah kita tak boleh nak buat apa untuk mengubahnya. Latih diri Anda untuk tidak mempersoalkan. Untuk menjaga fikiran positif, jangan komen,jangan komplen,jangan ngomel.
2. Berhenti Bercakap Seolah-olah Anda Tahu.
Cakap hanya apabila Anda tahu, diam apabila Anda tidak tahu, seperti kami pernah ulang di artikel-artikel lalu. Elak banyak bercakap seolah-olah Anda banyak tahu untuk membuat diri Anda menonjol, nampak hebat gitu. Hanya orang dengan harga diri rendah mahu membuat dirinya menonjol sebab mereka kurang ada kredibiliti. Banyak bercakap kelebihan diri sendiri adalah sikap negatif, berpunca dari fikiran negatif, diapikan oleh ego. Hentikan, supaya Anda dapat ‘maintain’ berfikiran positif. Bila bercakap, lebihkan menyokong, elak mengkondem!
3. Berhenti Salahkan Luaran, Salahkanlah Dalaman.
Berhenti salahkan seseorang, salahkan Tuhan, salahkan pemimpin, salahkan kawan, salahkan adik-beradik atau apa saja di luar diri Anda. Berhenti menyalahkan atau menuding jari pada orang lain atas apa yang berlaku. Tips ini berkait dengan tips pertama tadi. Berhenti mengomen, berhenti mengomplen, berhenti menyalahkan. Salahkan dalaman iaitu diri Anda sendiri kerana tidak berinisiatif memfokus kepada penyelesaian. Salahkan diri Anda kerana tidak memainkan peranan.
Sebagai contoh, jika Anda dilanda masalah kewangan, salahkan diri sendiri kerana tidak bekerja kuat dan tidak bekerja dengan lebih bijak. Jika Anda wanita dan Anda perasan suami Anda tidak melayan Anda berbeza dari dulu, salahkan diri sendiri kerana tidak menjaga kecantikan dan tidak mengambil inisittif mencantikkan lagi kecantikan sedia ada, untuk senangkan hati suami Anda.
4. Jangan Hanya Mahu Dihormati Oleh Semua, Tapi hormatilah Semua, Walau Siapapun Dia!.
Orang berfikiran negatif hanya mahu dihormati. Orang berfikiran positif hormat semua orang dan sikap hormat itu tidak dilakonkan, ia lahir dari hati. Setiap orang disekeliling dihormati tanpa mengira jawatan, harta dan darjat, walau orang tu makcik cleaner sahaja. Orang berfikiran negatif hanya mahu dihormati sebab mereka dikuasai ego. Untuk menjaga fikiran positif, belajarlah menghormati sesiapa saja. Anda akan perasan Anda makin bersemangat untuk maju ke depan.
5. Ingat Sikap-sikap Buruk Anda, Tekadlah Mengubahnya.
Jika sikap buruk Anda adalah suka bertangguh, tulis di atas kertas dengan ayat “aku mahu ubah sikap bertangguh”. Baca tulisan tu berpuluh-puluh kali sehari. Lepas tu, buat apa yang Anda tulis.
Tiap kali rasa nak bertangguh, latih diri untuk tidak bertangguh. Seboleh mungkin, elak bertangguh, sebagai langkah Anda komited nak mengubah sikap suka bertangguh.
Untuk membina sikap positif, fikiran Anda kena sama dengan perbuatan dan percakapan Anda. Fikiran kena sentiasa bersangka baik, perbuatan kena dibentuk supaya menjadi baik-baik, perkataan di mulut pun kena baik. Barulah Anda dapat menjaga fikiran positif yang Anda dah bina.


Read more...

Motivasi Wanita-5 Tips Bagaimana Membina Sikap Rajin Bersyukur Untuk Wanita

Kesyukuran yang selalu dipanjatkan dengan sepenuh hati akan memberi kesan tersendiri pada Anda. Perubahannya ketara. Anda akan jadi girang, gembira, bersemangat.
Berikut adalah 5 tips bagaimana untuk merasai kesan sikap bersyukur,khas untuk seorang wanita.
Tips 1: Tiap kali Anda bangun di awal pagi, ucapkan syukur.
Ucap syukur kerana Anda dapat tidur makam tadi Anda dapat rehatkan badan Anda. Ucapkan syukur kerana Anda masih hidup hari ini, kerana Ana saja boleh mati ketika sedang tidur. Sesiapa saja berisiko besar untuk mati ketika sedang tidur.Selepas bangum, ucapkan syukur. Tanamkan azam di dalam hati Anda mahu capai tahap terbaik dalam apa jua perkara yang Anda lakukan hari ini.
Tips 2. Ketika Anda menyediakan makanan dan minuman untuk suami dan anak-anak, ucapkan syukur.
Ketika Anda sibuk menyediakan sarapan untuk suami dan anak-anak, niatkan untuk menggembirakan hati mereka. Mereka gembira merasai hidangan Anda, kesannya Anda akan gembira sama. Apabila terlihat senyuman mereka, ucapkan syukur di dalam hati kerana Anda berjaya menggirangkan hati mereka dengan air tangan Anda. Usah pertikaian rasa penat, mengantuk, lemas badan,malas ataupun rasa terpaksa. Hadirkan syukur pada Tuhan kerana Anda ada seorang suami yang menyangi Anda (dan untuk Anda sayangi) serta anak-anak sebagai penyeri hidup.
Tips 3. Lihat sekeliling Anda, cari keindahan di sebaliknya.
Hidup Anda indah sebenarnya, cuma Anda tak nampak selama ni. Lihat sekeliling anda, sekeliling rumah Anda, bunga-bunga Anda, dengar kicauan burung, rasai desiran angin, nikmati kehijauan dedaunan. Rasai ketenangan ketika Anda menatap semua itu. Kemudian, ucapkan syukur kerana Anda diberi peluang menikmati keindahan alam.
Tips 4. Jadikan tugasan sebagai peluang untuk Anda berbakti.
Seorang suri rumah, pasti sangat sibuk. Memasak, mengemas, membersih, menghias. Anda pasti banyak tugas yang perlu dilakukan! Jika di lihat dari perspektif lain, tugas-tugasn seorang suri rumah sebenarnya adalah peluang untuk dia beroleh pahala. Niatkan dalam hari Anda melakukan semua pekerjaan Anda dengan bakti kepada suami, kepada anak-anak, bakti kepada keluarga Anda keseluruhannya. Banyakkan memberi tenaga, banyakkan main peranan. Lakukan kesemuanya dengan kasih sayang. Apa yang Anda curahkan, Anda akan dapat semula. Percayalah, apabila suami Anda puas hati dengan apa yang Anda buat, anak-anak memuji usaha Anda, hati Anda pasti girang dibuatnya. Syukurilah semua itu!
Tips 5. Ingat selalu perkara-perkara yang Anda syukuri.
Kebanyakan orang jadi tidak bermotivasi sebab fikiran mereka disesakkan dengan masalah duniawi. Kesannya, mereka jadi gelisah, rasa tidak selesa. Mungkin Anda pernah mengalami hal yang sama. Fikiran Anda sesak dengan hal-hal di tempat kerja, karenah memualkan rakan sekerja, tugasan bertimbun,perangai orang-orang yang berurusan dengan Anda, hutang piutang yang perlu dibayar, gaji yang tinggal sedikit, keinginan yang semakin membanyak. Semua ni membuat Anda hilang semangat mahu meneruskan hidup. Anda dilanda tekanan-tekanan halus. Anda cepat melenting, pemarah dan pendendam.
Untuk jadi suri rumah bermotivasi serta wanita bermotivasi, maafkan kesalaah orang lain sebelum Anda tidur. Ketika Anda tidur, kemaafan itu akan mencuci segala kemarahan dan dendam dalam fikiran Anda.
Esok paginya, Anda bangun dengan rasa girang. Nak bersyukur pun senang sebab fikiran anda tak sesak dengan perkara-perkara yang menyakitkan hati.
Bila Anda sudah bangun dan menjalani kehidupan seharian, amalkan selalu rasa bersyukur. Hargai dan ucapkan terima kasih di dalam hati. Hargai orang-orang di sekeliling Anda dan hargai apa yang mereka buat pada Anda. Hargai benda-benda yang Anda gunakan. Hargai makanan atau minuman yang suami Anda buatkan. Hargai kenalakan anak-anak di waktu pagi sebab dari gelagat sebegitulah, bisa tersenyum. Walaupun kekadang perangai mereka menyakitkan hati, namun Anda pasti tersenyum! Hargai anak Anda dan ucap terima kasih padanya kerana menjadi penyeri hidup Anda selama ini, walaupun dia dah besar panjang.
Seterusnya, untuk Anda bersemangat selalu, ingatlah perkara-perkara yang Anda syukuri. Latih diri Anda melakukan perkara ini. Kesannya pasti mujarab. Ada syarat. Jangan pernah ingat hal-hal buruk di masa lalu, walau cuma sesaat! Ia akan memadam kegirangan Anda secara automatik.
Disiplinkan fikiran. Hal ni sukar untuk kali pertama. Namun apabila Anda rajin menghargai dan mensyukuri segala-galanya bermula dari perkara-perkara kecil,pasti Anda dapat membina kekuatan mental. Anda akan mahir menangkis fikiran negatif lalu mengubahnya kepada perkara lain. Kawalan emosi Anda juga akan jadi semakin kukuh.


Read more...

BERCERITA TENTANG JODOH…

oleh gentarasa

Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha.
Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha.
Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.
“Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya,” kata seorang abang yang sangat saya hormati.
“Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?”
“Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya,” jawabnya pendek.
“Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada ruangan sosial seperti Facebook danTwitter?” gurau saya.
“Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain…”

Dalam diam, saya rasa hairan. Wajahnya saya tenung. Dia orang yang sangat saya hormati. Sahsiah dan kepimpinannya sangat menawan hati. Tentu ada sebab yang solid untuk dia bersikap demikian.
“Sebelum aktif sebagai aktivis Islam seperti sekarang, saya pernah menjalin hubungan cinta. Dia teman lama sejak di sekolah rendah lagi,” jelasnya dengan tenang.
“Habis mengapa putus?”
“Kami putus kerana dia ada jalan tersendiri. Saya ajak bersama saya dalam perjuangan Islam ini tetapi dia selesa dengan gayanya. Lepas, bebas. Jadi kami berpisah setelah 10 tahun bercinta.”
Wah, ini kisah cinta yang  dramatik! Saya tidak sangka sama sekali dia yang selama ini kelihatan begitu iltizam, tegas dan berwibawa pernah melalui tragedi cinta.

Isteri Amanah
“Itu kisah sebelumnya. Tetapi bagaimana dengan kisah pertemuan dengan isteri abang sekarang?” kata saya beralih kepada maksud asal pertanyaan.
“Setelah putus, abang terus pinta guru agama carikan jodoh. Ingin fokus kepada gerakan dan amal Islami tanpa diganggu gugat lagi oleh emosi cinta.”
“Tetapi mengapa abang tidak mahu melihat bakal isteri pilihan guru? Tidak dibenarkan?”
“Itu keputusan personal saya. Guru memberi kebebasan. Mahu melihat dulu, silakan. Tidak mahu, tidak mengapa.”
“Dan abang memilih untuk tidak melihat. Kenapa?”
“Eh, kamu masih tegar dengan soalan asal? Begini, bekas kekasih abang dulu sangat cantik. Abang takut perasaan abang diganggu oleh godaan perbandingan. Takut-takut, bakal isteri tidak secantik kekasih lama. Jadi abang tekad, nikah terus tanpa melihat wajahnya.”
Saya terkesima sebentar dan dengan pantas saya bertanya kembali, “Tetapi abang akan terpaksa juga membuat perbandingan setelah bernikah bukan? Setelah nikah, abang akan melihat wajahnya. Dan ketika itu mahu tak mahu godaan perbandingan akan datang juga.”
Sekali lagi dia senyum. Matanya bersinar-sinar dengan keyakinan. Jauh di lubuk hati, saya mengakui, dia memang bercakap dari hatinya.
“Amat jauh bezanya antara membandingkan wanita lain dengan bakal wanita yang akan kita nikahi dengan wanita yang telah kita nikahi…”
Pendek dia menjawabnya, namun terus menusuk ke hati saya. Tanpa saya pinta dia menyambung, “Apabila seorang wanita telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh Allah untuk kita bimbing dan pimpin menuju syurga. Nasib kita dunia dan akhirat sangat berkait rapat dengannya. Dia adalah jodoh yang ditakdirkan buat kita. Dialah wanita yang pasrah dan menyerah kepada kita atas nama Allah. Pada waktu itu, bagaimanapun keadaan wajahnya, siapa pun dia, sudah menjadi soal kedua.”


Cantik Itu Relatif dan Subjektif
“Abang tidak takut, kalau tiba-tiba wajah atau keadaannya tidak serasi dengan cita rasa abang? Maksudnya, er… er… kita masih manusia bukan?” saya menduga hatinya.
Dia ketawa tiba-tiba.
“Ya, kita masih manusia. Tetapi kita bukan sekadar manusia. Kita hamba Allah dan khalifah. Isteri ialah teman kita untuk memikul amanah dua misi berat itu. Untuk melaksanakannya, kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita, tetapi ilmunya, akhlaknya, sifat pengorbanannya dan kesetiaannya.”
“Jadi, untuk itu kecantikan tidak penting?”
“Semua yang datang daripada Allah ada kebaikannya. Namun ingat, Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita berbanding kita sendiri. Sesiapa yang tekad menjadi hamba Allah dan khalifah, pasti tidak akan dikecewakan-Nya. Orang yang baik berhak mendapat yang baik, bukan begitu?”
“Bukan yang cantik?” jolok saya lagi.
“Cantik itu relatif dan sangat subjektif. Beauty is in the eye of the beholder, bukankah begitu? Cita rasa manusia tentang kecantikan tidak sama. Malah ia juga berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan. Tetapi yang baik itu mutlak dan lebih kekal sifatnya,” balasnya dengan yakin.
“Maksud abang?”
Dia diam. Termenung sebentar. Mungkin mencari-cari bahasa kata untuk menterjermahkan bahasa rasa.
“Kecantikan seorang wanita tidak sama tafsirannya. Orang budiman dan beriman, menilai kecantikan kepada budi dan akhlak. Pemuja hedonisme dan materialisme hanya fokus kepada kecantikan wajah dan daya tarikan seksual.”
Ketika saya ingin menyampuk, dia menambah lagi, “Cantik juga relatif mengikut keadaan. Jelitawan sekalipun akan nampak hodoh dan membosankan apabila asyik marah-marah dan merampus. Sebaliknya, wanita yang sederhana sahaja wajahnya akan nampak manis apabila sentiasa tersenyum, sedia membantu dan memahami hati suami.”
“Oh, betul juga tu!” kata saya. Teringat betapa ada seorang kenalan yang sering mengeluh tentang isterinya, “Sedap di mata tetapi sakit di hati…”

Wasilah Memilih Jodoh
“Bagaimana sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?” ujar saya dengan soalan nakal.
“Memang dari segi kecantikan, isteri abang sekarang biasa-biasa sahaja.”
“Maksudnya yang dulu lebih cantik?”
“Kamu ni, fikirannya masih berkisar dan berlegar-legar di situ juga. Ingat, yang biasa-biasa akan jadi luar biasa cantik apabila makin lama kita bersama dengannya. Itulah pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan isteri semakin terserlah. Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu atau hati ini?”
Wah, dia seakan berfalsafah! Kata-katanya punya maksud yang tersirat.
“Apa kaitannya dengan hati?” layan lagi. Ingin saya terus mencungkil mutiara hikmah daripadanya.
“Kalau hati kita indah, kita akan sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya kalau hati rosak, keindahan tidak akan ketara, sekalipun sudah tampak di depan mata. Atau kita mungkin akan mudah bosan dengan apa yang ada lalu mula mencari lagi. Percayalah, orang yang rosak hatinya akan menjadi pemburu kecantikan yang fatamorgana!”
‘Ah, tentu dia bahagia kini!’ bisik hati saya sendiri.
“Apa panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?”
“Pilihlah jodoh dengan dua cara. Pertama, jadilah orang yang baik. Insya-Allah, kita akan mendapat jodoh yang baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang baik akan memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita.”

Jadi Orang Baik dan Pilihan Orang Baik
“Tapi bang, ramai yang menolak kaedah kedua. Kata mereka, mana mungkin kita menyerahkan hak kita memilih jodoh sendiri kepada ibu bapa, guru atau individu-individu lain sekalipun mereka orang yang baik-baik.”
“Tak mengapa. Kalau begitu, cuna cara pertama, jadilah orang yang baik.”
“Itu susah bang. Bukan mudah hendak menjadi orang yang baik. Ia satu proses yang panjang dan sukar menentukan apakah kita sudah jadi orang yang baik atau belum.”
Abang tersenyum lantas berkata, “Kamu menyoal bagi pihak orang lain bukan?”
Saya diam. Dalam senyap saya akui, inilah soalan yang sering diajukan oleh para remaja di luar sana.
“Kedua-dua cara itu boleh dijalankan serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang yang baik, insya-Allah, Allah akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui pilihan orang baik. Ataupun kita berusaha menjadi orang yang baik sambil mencari orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita itu direstui oleh orang yang baik!”
Wah, kedengaran berbelit-belit ayatnya, namun jika diamati ada kebenarannya.
“Tetapi ada juga mereka yang menolak pilihan orang yang baik bukan?”
“Kerana mereka bukan orang baik,” jawabnya pendek.
“Bukan, bukan begitu. Bolehkah terjadi orang baik menolak pilihan orang yang baik?”
“Ya, tidak mengapa. Tetapi mereka tetap menolaknya dengan cara yang baik. Itulah yang terjadi kepada seorang wanita yang bertanyakan haknya untuk menerima atau menolak jodoh yang dipilih oleh ibu bapanya kepada Rasulullah s.a.w.”
“Apa hikmah di sebalik kisah itu bang?”
“Kita boleh melihat persoalan ini dari dua dimensi. Pertama, mungkin ada anak-anak yang tidak baik menolak pilihan ibu bapa yang baik. Hikmahnya, Allah tidak mengizinkan orang yang baik menjadi pasangan orang yang tidak baik. Bukankah Allah telah berjanji, lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya?”
Saya terdiam. Benar-benar tenggelam dalam fikiran yang mendalam dengan luahan hikmah itu.

Jodoh Urusan Allah
“Dan mungkin juga anak itu orang baik tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih calon yang tidak baik sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat membenarkan si anak menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk menyelamatkan orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat.”
“Bagaimana pula jika anak itu baik, dan ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu bapanya juga baik, tetapi urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?” tanya saya inginkan penjelasan muktamad.
“Itulah takdir! Mungkin Allah menentukan ‘orang baik’ lain sebagai jodohnya. Sementara orang baik yang dicadangkan itu telah Allah tentukan dengan orang baik yang lain pula!”
Tiba-tiba saya teringat bagaimana Hafsah yang dicadangkan untuk menjadi calon isteri Sayidina Abu Bakar oleh ayahnya Sayidina Umar tetapi ditolak. Akhir Hafsah bernikah dengan Rasulullah s.a.w. Kebaikan sentiasa berlegar-legar dalam kalangan orang yang baik!
“Jodoh itu urusan Allah. Sudah dicatat sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang baik. Cuma sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat pasangan hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah.”
“Apa hikmahnya kes yang berlaku sekali-sekala seperti itu?”
“Eh, abang bukan pakar hikmah! Tetapi mungkin Allah hendak meninggikan lagi darjah dan darjat orang baik ke tahap yang lebih tinggi.”
“Hikmah untuk kita?”
“Jika takdirnya pahit untuk kita, terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah berusaha menjadi orang yang baik dan kita telah pun bernikah dengan pilihan orang yang baik, tetapi jika takdirnya  pasangan kita bermasalah… bersabarlah. Katakan pada diri bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat syurga. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi Ayyub atau kesabaran seorang isteri bernama Siti Asiah.”
Tok, tok, tok. Tiba-tiba pintu bilik tulis saya diketuk. Wajah watak “abang bayangan” saya pergi tiba-tiba. Tersedar saya daripada lamunan yang panjang. Wajah isteri terserlah di sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam hati sendiri, apakah aku telah menjadi insan yang baik untuk memperbaikinya?
Ah, hati dilanda bimbang mengingatkan makna satu ungkapan yang pernah saya tulis dahulu: “Yang penting bukan siapa isterimu semasa kau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah denganmu. JAdi, janji Allah tentang lelaki yang baik untuk wanita yang baik bukan hanya berlaku pada awal pernikahan, tetapi di pertengahannya, penghujungnya malah sepanjang jalan menuju syurga!”
P/S
Nota hati: Pulang dari Kelantan hujung minggu lalu dengan badan yang sarat dengan keletihan. Namun hati dan fikiran sarat dengan iktibar dan pengajaran.
Berlegar di sekitar kuliah Hari Jumaat di bandar KB, mendengar. merasa dan melihat. Yang indah, bukan tanahnya, tetapi manusia yang menegakkan hukum Allah di atasnya.
Mungkin sesuatu yang kelihatan sederhana pada pandangan mata, tetapi sangat cantik bila dipandang dengan mata hati. Begitulah rasa hati… semoga kita semua kembali kepada Ilahi, kerana di sana ada keindahan yang hakiki dan abadi.
Berfikir tentang jodoh anak-anak, adalah satu cabaran yang dipenuhi pelbagai misteri. Ia sukar ditebak dan diduga. Namun, pesan saya cuma satu… untuk anak sendiri dan anak-anak di luar sana, ikutlah syariat, pasti selamat. Islam itu sejahtera. Tidak ada kebahagiaan tanpanya.
Ya, kesalahan dan kesilapan boleh berlaku -  ada ampun, maaf dan taubat di situ. Namun mukmin sebenar tidak akan jatuh dalam lubang yang sama dua kali. Cukup hanya sekali… pertama, kerana kejahilan. Maka belajarlah. Kalau kedua, itu kerana kedegilan. Hubaya-hubaya, kekadang harga yang ditagih untuk ‘membetulkannya’ terlalu pedih dan menyakitkan.
Belajarlah melakukan yang benar dan betul buat pertama kali. Itu yang terbaik. Tetapi jika tidak, cubalah membetulkannya buat kali kedua, ketiga dan seterusnya. Jangan jemu untuk cuba melakukan yang terbaik, kerana kata bijak pandai: Kebaikan itu perlu dimulakan berkali-kali!


Read more...